Wednesday, August 12, 2009

SENI UKIRAN TRADISIONAL

Ukiran Kayu Tradisional

Sejarah awal mengenai ukiran kayu di Malaysia boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Buku yang dikarang oleh Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan Tun Sri Lanang, tercatat keindahan seni bina Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga tahun1477. Istana berukir indah itu digelar oleh rakyat Melaka sebagai ‘ Istana Hawa Nasfu’. Seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (tahun 1756-1780).

Ukiran kayu zaman dahulu dapat bertahan beratus-ratus tahun kerana pengukirnya menggunakan kayu-kayu terbaik untuk menghasilkan ukirannya. Antara kayu-kayu yang tahan lama ialah kayu cengal, kayu merbau, kayu kempas, kayu penak, kayu bacang hutan dan kayu-kayu baik yang lain. Ukiran-ukiran kayu kebiasaannya menghiasi pintu, tingkap, cucuran atap, kisi-kisi tingkap, tiang seri dan beberapa bahagian dalam rumah. Perabot juga diukir untuk memperlihatkan kemewahan.

Hasil ukiran adalah berunsurkan motif-motif persekitaran. Mengikut kajian, motif ukiran adalah berlandaskan kepada ajaran kesufian. Misalnya, reka corak bermula pada satu tempat dalam ruang yang hendak diukir dan menjalar terus memenuhi ruang. Ini menunjukkan alam ini berasal dari satu kejadian yakni seluruh kehidupan melalui tahap-tahap perkembangannya dan menabur zuriat. Oleh itu reka corak ukiran tradisi pada hujung motif biasanya mempunyai cirri-ciri tidak mendongak ke atas, sebaliknya mematah atau tunduk.

JENIS-JENIS BUNGA UKIR ATAU CORAK

Terdapat lima corak bunga ukir yang terdapat dalam reka corak tradisional, antaranya awan larat, awan silang atau kerawang, awan bentuk huruf, larik dan semetri.

Awan Larat

Awan larat berilham dari alam iaitu awan yang berarak apabila ditiup angin. Ada pula mengatakan bahawa nama ini diambil sempena nama seorang anak kecil bernama Awang yang menggaris tanah hingga melarat-larat menjadi bentuk yang cantik. Gambaran inilah yang diabadikan oleh pengukir dalam ukirannya. Kebiasaannya pengukir mencipta daun, buah dan bunga hasil ilhamnya sendiri. Awan larat ini corak yang paling dimuliakan dalam apresiasi seni ukir Melayu Klasik. Ukiran jenis ini tidak diletakkan di paras pusat. Awan larat terbahagi kepada dua jenis yakni Awan Larat Melayu dan Awan Larat Jawa.

Awan Larat Melayu Asli

Awan jenis ini juga dikenali sebagai Awan Larat Jawi. Bentuknya mempunyai bunga yang besar dan jarang. Coraknya bermula dari satu tempat dan melarat memenuhi ruang yang lain. Batangnya berlingkar dan bertembung dengan daunnya yang berlipat lunak.

Awan Larat Jawa

Bentuknya lebih kecil daripada awan larat Melayu Asli. Daun dan bunganya rapat-rapat. Terdapat banyak bunga dan daun saling bertindih. Bentuk daunnya lurus dan tidak berlipat.

Silang / Kerawang

Bunga ukir bentuk ini adalah dalm garis yang bengkang-bengkok. Garisan bersimpang-siur seumpama akar yang berlegar. Ukiran corak ini biasanya terdapat dalam bentuk papan tebuk tidak silat.

Awan Bentuk Huruf Larik dan Simetri

Jenis ukiran berbentuk huruf yang dimaksudkan ialah huruf-huruf dalam al- Quran. Ukiran ini biasanya banyak terdapat di masjid. Awan jenis Larik berbentuk gerlang-gerlang pada batang bulat. Keindahan jenis ini terletak pada gerlang yang berkala dan tersusun. Ukiran ini biasanya terdapat pada tongkat, tiang-tiang ulu senjata dan sebagainya. Kebanyakannya mempunyai dua jenis larik. Awan jenis simetri biasanya terdapat dalam bentuk geometri Islam, misalnya corak swastika. Awan jenis ini biasanya terdapat di masjid atau mimbar.

PENGARUH MOTIF CORAK UKIRAN TRADISIONAL

Motif ukiran kayu secara langsung dipengaruhi unsur-unsur alam sekitar dan cara hidup masyarakat zaman dahulu. Adat resam, kepercayaan, agama, iklim, geografi dan persekitaran amat kuat pengaruhnya kepada pengukir. Antara pengaruh yang dimaksudkan ialah unsur tumbuh-tumbuhan, unsur makhluk hidup, unsur kaligrafi, unsur geometri dan unsur kosmos.

Unsur Tumbuh-Tumbuhan

Unsur ini biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar. Antara tumbuhan yang paling popular di kalangan pengukir ialah jenis kacang, labu, ketubit, ketam guri, salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang dominan dalam rekaan seni ukir tradisional.

Unsur Makhluk Hidup

Unsur ini kebanyakannya dipengaruhi oleh semangat dan kepercayaan. Pada zaman pengaruh Hindu, unsur-unsur seperti kepala burung, ayam, itik dan naga sangat disukai oleh pengukir. Setelah kedatangan Islam, pengaruh ini semakin berkurangan. Ukiran unsur makhluk hidup banyak terdapat pada kapal atau perahu nelayan di pantai timur.

Unsur Kaligrafi

Setelah kedatangan Islam di Tanah Melayu, unsur kaligarfi Jawi dan ayat al-Quran mula diukir oleh pengukir-pengukir tempatan. Unsur kaligrafi ini digabungkan dengan unsur-unsur tumbuh-tumbuhan.

Unsur Geometri

Unsur ini dikenali sebagai tumpal. Unsur ini mempunyai kaitan dengan unsur geometri Islam. Pola-pola geometri disusun berulang-ulang.

Unsur Kosmos

Unsur ini menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan gunung-ganang. Ukiran seperti ini banyak terdapat di tebar layar rumah-rumah Melayu Trasidional.

BENTUK-BENTUK UKIRAN

Ukiran Tebuk / Papan Tebuk

Ukiran tebuk berasal dari sekeping papan atau beberapa keping papan yang ditebuk dengan menggunakan gerudi gergaji (gergaji menggerudi) supaya tembus bentuk-bentuk bunga atau corak. Terdapat dua jenis ukiran jenis ini, iaitu ukiran tebuk tidak silat dan ukiran tebuk silat.

Ukiran tebuk tidak banyak terdapat pada rumah-rumah lama iaitu bahagian selasar, lambur, dinding, pintu perabot dan mimbar masjid. Bentuk bunga ukir ialah awan larat, siling, kaligrafi dan simetri. Bagi ukiran tebuk silat, bahagian yang menindih serta melengkung keluar ditimbulkan dan bahagian yang melengkung ke dalam serta yang merindih ditenggelamkan. Sesungguhnya silat ialah istilah yang menunjukkan bahagian yang timbul dan tenggelam serta papan tebuk disobek. Bunga ukir yang terdapat pada bentuk ini ialah awan larat, silang dan simetri.

Ukiran Bunga Timbul

Ukiran bunga timbul ini tidak tembus. Ia mengandungi bunga ukir yang disilatkan dan tidak silat. Terdapat pada perabot, mimbar masjid, barang hiasan yang diperbuat daripada kayu, ulu serta sampir senjata. Bunga ukirnya sama seperti ukiran tebuk.

Ukiran Arca

Ukiran arca ini banyak terdapat pada ulu senjata seperti ulu keris, kepala tongkat, kukur kepala, kotak nelayan dan sebagainya. Bunga ukirannya sama seperti ukiran timbul tetapi lebih halus dan kecil.

Larik

Melarik merupakan satu cara orang-orang Melayu mengukir kayu. Ukiran larik berbentuk bulat dengan susunan gerlang-gerlang dan genting-gentat yang menarik. Ukiran ini sering terdapat pada ulu senjata, perabot, tongkat, gasing, tiang-tiang rumah dan sebagainya.

BENTUK-BENTUK SILAT

Dalam ukiran kayu tradisional, membentuk motif atau bunga ukir merupakan perkara yang terpenting. Bagi ukiran timbul dan ukiran tebuk, motif atau bunga ukir dinamakan silat. Silat berperanan sebagai menampakkan motif ukiran dalam bentuk tiga dimensi. Terdapat lima jenis bentuk silat, antaranya Silat Belah Rotan, Silat Dada Tuma, Silat Serong, Silat Leper dan Silat Minangkabau.

POLA PADA UKIRAN TRADISIONAL

Biasanya pengukir akan memilih pola-pola ukiran sebelum melakukan proses mengukir. Pola-pola ini bergantung kepada kegunaan ukiran kayu. Bagi ukiran kayu jenis silat (silat tebuk dan tidak tebuk), pola yang sesuai ialah pola lengkap. Pola lengkap memenuhi reka corak ukiran. Bagi keperluan hiasan rumah seperti perabot, pengadang ruang, penutup bendul, paha tangga, adalah paling sesuai. Pola ini disusun dengan kemas dan tidak berlingkar-lingkar.

Bagi motif-motif tunggal seperti sekuntum bunga, putik buah, bulan, bintang, matahari, bunga lawang, bunga teratai dan lain-lain. Pola bujang paling sesuai digunakan.

CORAK PADA UKIRAN TRADISIONAL

Corak Awan

Corak boyan, awan Jawa, awan larat, awan sa’mayang, awan selimpat dan awan telipuk.

Corak Bunga

Bunga ali-ali, bunga ara, bunga ati-ati, bunga bakut, bunga kundur, bunga beringin, bunga bintang, bunga kala, bunga kelumpang, bunga buntut siput, bunga lawang, bunga ketola, bunga kuda laut, bunga keduduk, bunga tunjuk langit, bunga ketur, bunga seputih, bunga misai kucing, bunga tampuk manggis, bunga semangat, bunga pending, bunga putu, bunga tikam seladang dan bunga kiambang.

Corak Daun

Daun setulang, daun sayap, daun selat, daun balung ayam, daun jari buaya, daun kazan, daun nyu-nyu, daun sekati lima, daun pedang wana, daun sembung, daun memiding, daun seputih, daun kancing baju, daun bayan lingit, daun sesayap silat, daun dala, daun sulur gading, daun memidih, daun kiambang, daun ati-ati dan daun sirih.

Corak-Corak Lain

Bayan kubur, bayan peraksi, kacang hantu, gelang kaki, gelang tangan, galar kacang, ketam guri, ketimbit, kerak nasi, kala bukit, kiambang, kilas ikatan daun, kayu jala-jala, kilas payung, kilas dayung, maha risi, pagar tinggalung, pokok bermin, pokok susu ketam, puspa gandiwak, pucuk paku, saga kenering, sulur keliding, sulur kacang, sajak berkendit, sembung bidadari, sulur matahari dan sulur gadung.

UKIRAN KAYU TRADISIONAL

Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Sejarah Ukiran Kayu Melayu

Ukiran kayu pada wau

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang


Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.

Bentuk Pemidang

Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.

Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.

Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;

i. Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)

ii. Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau.

iii. Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.

iv. Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal.

Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment